Thursday, October 28, 2010

.:: Research Qiraat ::.

BAB 1: BIODATA IMAM QIRAAT

1.1: IMAM SYATIBI R.A
1.1.1: Latar belakang



Nama sebenar beliau adalah al-Qasim bin Firruh bin Ahmad bin Khalaf bin Abu Qasim Muhammad al-Syatibiy al-Ru’ainiy al-Andalusiy al-Dhorir dan beliau bermazhab Syafi’ei. Dilahirkan dalam keadaan buta pada akhir tahun 538 hijrah di Andalus (Sepanyol) disebuah perkampungan yang bernama Syatibah (sekarang dalam daerah Barcelona). Di Syatibah beliau mempelajari al-Qur’an dan Qiraat daripada gurunya Abi Abdullah Muhammad bin Abi al-‘As al-Nafari. Kemudian beliau merantau ke Balansiah iaitu satu perkampungan yang berhampiran dengan Syatibah dan berguru dengan Ibn Huzail. Beliau mempelajari ilmu Qiraat dan telah menghafal kitab al-Taisir karangan Imam Abu ‘Amru al-Dani dan juga mempelajari ilmu hadith. Beliau juga telah mempelajari ilmu Qiraat dari Syeikh Abi Tohir al-Salafi di Iskandariah, Mesir. Apabila beliau beliau sampai ke Mesir, beliau telah diberi penghormatan yang tinggi oleh ulama’-ulama’ di Mesir dan sekali gus dilantik sebagai ketua lujnah al-Qur’an oleh raja Mesir pada ketika itu. Imam Abu Syaamah al-Dimasyqiy mencipta sepotong syair yang menggambarkan betapa tingginya penghormatan ulama’-ulama’ Mesir terhadap Imam Syatibiy yang berbunyi:

(رأيت جماعة فضلاء فازوا * برؤية شيخ مصر الشاطبي وكلهم يعظمه ويثنى * كتعظيم الصحابة للنبي)

Bermaksud: Aku melihat sekumpulan ulama’ yang bergembira dengan munculnya Imam al-Syatibiy, Dan kesemuanya membesar dan memuji beliau seakan-akan para sahabat memuji nabi. Masyarakat Mesir pada ketika itu berlumba-lumba untuk mempelajari al-Qur’an daripadanya. Kebiasaanya beliau memulakan pengajaran selepas solat subuh dan sentiasa mendahulukan murid-muridnya yang datang awal dengan berkata “ sesiapa yang datang awal, hendaklah dia yang baca dulu” .

Pernah berlaku, seorang anak muridnya yang selalu datang awal tidak dibenarkan membaca dahulu tanpa diberitahu sebabnya dan disuruh pula murid yang datang selepasnya membaca dahulu. Berfikirlah anak murid yang selalu datang awal itu seketika tentang perkara tersebut lalu tiba-tiba beliau menyedari bahawa beliau masih dalam keadaan junub. Lalu bergegaslah beliau untuk membersihkan diri (mengangkat hadas besar) dan sekembalinya beliau ke tempat pengajian, didapati murid yang kedua tadi masih belum selesai membaca dan ketika itu jugalah Imam al-Syatibiy serta-merta memberhentikan murid keduanya dan terus berkata “ sesiapa yang datang awal, hendaklah dia yang baca dulu”

1.1.2: Kehebatan Beliau

Di antara kehebatan beliau ialah dapat mendengar azan yang menunjukkan masuk waktu solat tanpa diazankan. Beliau tidak bercakap kecuali apa yang dirasakan perlu dan hanya hadir mendengar bacaan murid-muridnya dalam keadaan berwuduk. Apabila ditanya tentang hal keadaannya beliau akan hanya menjawab dengan katanya: “sihat” walaupun pernah menderita kesakitan tetapi tidak pernah menzahirkannya. Beliau juga mempunyai keperibadian dan akhlak yang tinggi selain daripada ingatan yang kuat dan akal yang tajam. Tidak memandang dunia dan takut pada hukum Allah. Walaupun beliau bukan bangsa arab, tetapi pengetahuannya dalam bidang ilmu-ilmu Islam serta bahasa arab cukup dalam dan luas. Beliau juga tidak segan silu berpolitik dalam memastikan hukum Allah tertegak di muka bumi ini.

Hirzu al-Amaani wa Wajhu al-Tahaani adalah antara kitab yang dikarangnya yang memuatkan pelbagai nasihat dan saranan kepada pencinta ilmu qiraat di dalam bab muqaddimah antaranya,

( وهذا زمان الصبر من لك بالتي * كقبض على جمر فتنجوا من البلا)

Maksudnya: Zaman ini zaman yang penuh kesabaran dan sesiapa yang berpegang kepada Islam yang sebenar diibaratkan seperti berpegang pada bara api dan mereka ini akan selamat daripada malapetaka. Berkenaan dengan kitab ini, Al-Tobari meriwayatkan, Imam al-Syatibiy pernah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah s.a.w dan Baginda membaca kitab tersebut lalu bersabda “Kitab ini mempunyai keberkatan, barang siapa yang menghafalnya akan dimasukkan ke syurga”.

1.1.3: Kewafatan Beliau

Beliau meninggal dunia setelah berusia 52 tahun pada hari ahad selepas asar, 28 Jamadil Akhir tahun 590 Hijrah dan dikebumikan pada hari Isnin di atas Jabal Muqattam, Mesir. Begitulah secara ringkasnya sejarah kehidupan Imam al-Syatibiy yang masih ramai tidak mengetahuinya lagi termasuklah pelajar-pelajar dalam bidang qiraat. Imam al-Syatibiy membawa contoh model pendukung ilmu qiraat yang sebenar.

Dalam keadaan beliau yang buta, bukan sahaja hebat dalam bidangnya tetapi sentiasa tegas dalam perkara yang melibatkan hukum Allah. Semoga semua pencinta ilmu qiraat dapat mempersembahkan ilmu ini sepertimana yang dipersembahkan oleh Imam al-Syatibiy bagi mengikis tanggapan bahawa orang qiraat ini hanya tahu membaca al-Qur’an sahaja dan lesu, senyap dan bisu dalam menegakkan kalimah Allah bila balik ke Malaysia nanti . Semoga kekentalan dan semangat tinggi Imam yang pernah bekerja-sama dengan Salahuddin al-Ayubbi ini dapat kita selami dan seterusnya menjadikan ilmu ini sebagai salah satu alternatif dalam mengembalikan masyarakat ke jalan yang benar.


1.2: AL-IMAM IBNU AL-JAZARI (751H - 833H): PENGHULU QURRA'

1.2.1: Latar Belakang

Nama sebenar al-Imam Ibnu al-Jazari ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin `Ali bin Yusuf al-Jazari al-Dimasyqi. Beliau digelar sebagai Abu al-Khair. Beliau dilahirkan pada malam Sabtu 25 Ramadhan 751 Hijriah di Dimasyq, Syam. Di Dimasyq inilah beliau dibesarkan dan menjadi tempat beliau tamat menghafaz al-Quran ketika beliau berusia 14 tahun lagi. Apabila beliau membesar beliau lebih cenderung untuk mendalami ilmu al-Qiraat daripada masyayikh-masyayikh yang ada pada ketika itu.

1.2.2: Guru-guru Beliau

Di antara ulama-ulama Dimasyq yang menjadi tempat beliau bertalaqqi ialah Abu Muhammad Abdul Wahhab bin as-Salar, Syeikh Ahmad bin Ibrahim at-Thohhan, Syeikh Abu al-Ma`ali Muhammad bin Ahmad al-Labani dan al-Qodhi Abu Yusuf Ahmad bin al-Husain al-Kifri al-Hanafi. Manakala guru-guru beliau dari Mesir ialah Abu Bakr Abdullah bin al-Jundi, Abu Abdillah Muhammad bin as-Sho`igh, Abu Muhammad Abdul Rahman bin al-Baghdadi dan Syeikh Abdul Wahhab al-Qorwi.

Ketika beliau bermusafir ke Makkah untuk menunaikan ibadat haji dan menuju ke Madinah untuk menziarahi Rasulullah s.a.w, beliau telah bertalaqqi al-Quran dengan Imam Masjid al-Nabawi ketika itu iaitu Muhammad bin Soleh. Beliau juga telah mentalaqqi al-Quran daripada hampir semua imam-imam qiraat daripada Syam, Mesir, Hijaz baik secara ifrad dan jama` dengan berpandukan kitab-kitab qiraat yang muktabar seperti as-Syatibiah, at-Taisir, al-Kafi, al-`Unwan, al-I`lan, al-Mustanir, at-Tazkirah, at-Tajrid dan lain-lain kitab qiraat yang masyhur pada ketika itu yang menjadi rujukan utama umat Islam dalam bidang ini.


Beliau juga mengadakan majlis pengajian qiraat selama beberapa tahun di Jami` Umawi, Dimasyq dengan sambutan yang cukup hebat oleh murid-murid beliau pada masa itu. Ada dikalangan mereka yang bertalaqqi daripada beliau berdasarkan satu buah kitab qiraat sahaja. Ada juga yang lebih daripada satu buah kitab. Ada yang bertalaqqi daripada beliau Qiraat Tujuh, Qiraat Sepuluh bahkan lebih daripada itu. Antara anak-anak murid beliau yang mengambil Qiraat Sepuluh ialah anak beliau sendiri Abu Bakr Ahmad bin Muhammad, Syeikh Mahmud bin al-Husain as-Syirazi, Syeikh Najibuddin Abdullah bin al-Husain al-Baihaqi, Syeikh Muhammad bin Ahmad bin al-Haim dan sebahagian besar murid-murid beliau yang lain.

1.2.3: Kegigihan Beliau

Kesungguhan beliau untuk mendalami ilmu qiraat ini cukup terserlah dengan ketabahan beliau merantau keseluruh rantau Islam untuk belajar ilmu Qiraat dan mengajarkannya. Beliau telah bermusafir ke Mesir, Madinah, Basrah, Samarqand, Khurasan, Isfahan dan Syiraz. Ketika beliau singgah di `Anizah, Najd beliau telah mengarang kitab ad-Durrah al-Mudhiah, kitab Qiraat Tiga untuk menyempurnakan Qiraat Tujuh oleh Imam as-Syatibi sehingga dikenali sebagai Qiraat Sepuluh Syughra.

Ketika beliau berada di Madinah, setelah selesai beliau mengarang Tahbir at-Taisir, beliau mengarang satu kitab lagi yang cukup bermakna dalam dunia ilmu al-Quran dan al-Qiraat iaitu an-Nasyr Fi al-Qiraat al-`Asyr. Kitab ini merupakan kitab yang paling sempurna di antara sekian banyak kitab-kitab beliau dalam membahaskan ilmu tajwid dan qiraat. Kitab inilah yang menjadi manhaj tertinggi pengajian ilmu qiraat sejak zaman dahulu sehinggalah sekarang. Setelah itu, beliau telah mengarang sebuah kitab untuk mentalkhis kitab an-Nasyr ke dalam bentuk matan dengan nama Toyyibah an-Nasyr Fi al-Qiraat al-`Asyr. Kitab inilah yang telah al-Azhar tetapkan dalam manhaj pengajian qiraat di marhalah Takhassus Qiraat di maahad-maahaq qiraat di seluruh Mesir. Di samping itu, semasa beliau berada di Madinah beliau telah mengarang beberapa kitab lain samada qiraat dan lain-lain.

1.2.4: Kealiman Beliau dalam Bidang-bidang Lain

Sebenarnya al-Imam tidaklah alim dalam bidang qiraat sahaja, bahkan beliau sangat alim dalam beberapa disiplin ilmu yang lain seperti tafsir, hadith, fiqh, usul fiqh, tauhid, tasauf, nahu, sorf, balaghah dan lain-lain lagi. Akan tetapi, di antara ilmu-ilmu yang dinyatakan tadi ternyata beliau lebih alim dalam bidang ilmu hadith. Al-Imam telah mempelajari ulum hadith ini daripada guru-guru beliau seperti as-Syeikh Solahuddin bin Ibrahim bin Abdullah al-Muqaddisi al-Hanbali, al-Imam al-Mufassir al-Muhaddith al-Hafiz Abu al-Fida` Ismail bin Kathir, al-Imam Ibnu `Asakir, Zainuddin bin Abdul Rahim al-Isnawi dan beberapa guru beliau yang muktabar. Beliau mendalami ilmu ini baik dirayah mahupun riwayah sehingga beliau digelar al-Huffaz ath-Thiqat al-Athbat.

Beliau berguru dengan al-Imam al-Isnawi dan al-Imam Ibnu Kathir sehinggalah beliau diberi keizinan oleh gurunya untuk memberi fatwa dan pengajian pada tahun 774 Hijriah sedangkan pada ketika itu beliau baru berumur 24 tahun dan al-Imam Ibnu Kathir merupakan guru pertama yang memberi ijazah keizinan memberi fatwa kepada beliau. Beliau juga diiktiraf untuk memberi fatwa oleh as-Syeikh Dhiauddin pada tahun 778 Hijriah. Manakala pada tahun 785 Hijriah, Syaikhul Islam al-Balqini juga melakukan perkara yang sama.

Beliau telah dilantik sebagai Masyikhah as-Solihiyyah di Baitul Maqdis selama beberapa waktu.Beliau juga pernah dilantik sebagai qadhi di Syam dan Syiraz. Ketika beliau di Syiraz, beliau telah menubuhkan sebuah madrasah untuk mengajar ilmu qiraat yang diberi nama "Darul Quran".

1.2.5: Kewafatan Beliau

Pada waktu dhuha hari Jumaat bertepatan 5 Rabi`ul Awwal 833 Hijriah, beliau telah pulang mengadap Rabul `Izzati. Beliau telah disemadikan di Darul Quran yang diasaskan olehnya. Jenazah beliau telah diiringi oleh seluruh umat tanpa mengira darjat dan pangkat. Ini memberi bukti beliau benar-benar dikasihi umat.

1.2.6: Renungan Bersama

Sesungguhnya al-Imam merupakan seorang yang alim, soleh, wara`, zuhud dan pemurah. Seluruh masa dan waktu beliau penuh dengan amal kebajikan dan taqarrub. Sentiasa membaca al-Quran dan mendengarnya daripada orang lain, tekun menuntut ilmu sehinga mampu mengarang. Beliau tidak pernah meninggalkan qiamullail baik ketika beliau kelapangan atau dalam permusafiran. Senantiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis serta tiga hari dalam setiap bulan. Banyak karangannya yang bermanfaat menunjukkan tingginya kegigihan beliau dan hebatnya ilmu beliau tanpa mengira disiplin ilmu apatah lagi dalam bidang ilmu al-Quran dan al-Qiraat yang diberi kelebihan oleh Allah S.W.T kepada beliau.


BAB 2: QIRAAT AL-QURAN

2.1: Pengenalan
Ilmu Qiraat dianggap asing oleh masyarakat Melayu kerana ia tidak dimasyhurkan di negara kita, sedangkan ia berkembang luas pada zaman Rasulullah SAW. dan selepasnya. Sebenarnya ia bukan suatu ilmu yang asing bagi umat Islam di Malaysia, bahkan Al-Quran yang dibaca sekarang adalah Qiraat, tetapi masyarakat kita tidak mengetahuinya. Sebagaimana Al-Quran dan Qiraat adalah suatu kombinasi yang tidak dapat dipisahkan, begitu juga pada ilmu Tajwid. Ini bermakna Al-Quran itu adalah Qiraat dan Tajwid itu adalah Al-Quran. Maksudnya jika seseorang itu membaca Al-Quran tanpa bertajwid ia tidak dinamakan Al-Quran, juga tidak menjadi suatu ibadat, bahkan ia berdosa di sisi syarak.
Firman Allah SWT,
ِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلا
"Bacalah Al-Quran dengan murattal (bertajwid dan menyebut hurufnya dengan baik.”
(al-Muzammil: 4)
Penulisan ini bertujuan untuk mengemukakan kajian ringkas mengenai qiraat, sejarahnya dan pengamalan di kalangan umat Islam.

2.2: Al-Quran Diturunkan Tujuh Huruf

Al-Quran adalah satu mukjizat yang tersebar dan teragung yang diturunkan dalam bahasa Arab dalam tujuh huruf. Banyak hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat mengenai Al-Quran diturunkan dalam tujuh huruf dan hadith tersebut adalah mutawatir, di antaranya yang berpendapat demikian ialah Abu ‘Ubayd al-Qasim bin Salam sebagaimana yang disebutkan oleh al-Suyuti di dalam kitabnya. Rasulullah SAW bersabda,
“Sesungguhnya Al-Quran ini diturunkan atas tujuh huruf, maka bacalah kamu mana yang mudah daripadanya.” (HR Bukhari dan Muslim).
Para ulama berbeza pendapat mengenai Al-Quran diturunkan dengan tujuh huruf, iaitu:-
i. Ada pendapat yang mengatakan Al-Quran itu diturunkan dalam tujuh bahasa dari tujuh bangsa selain bangsa Arab. Pendapat ini didasarkan wujudnya kalimat-kalimat yang bukan dari bahasa Arab dalam Al-Quran seperti ‘Sirat’ (Rome), ‘Istabraqen’ (Yunani), ‘Sijjil’(Parsi), ‘Haunaan’(Siryani).
ii. Pendapat yang mengatakan Al-Quran itu diturunkan dengan tujuh jenis qiraat(bacaan) tetapi pendapat ini adalah lemah.
iii. Pendapat ketiga menyatakan yang dimaksudkan tujuh huruf tersebut ialah tujuh bahasa kabilah Arab yang masyhur di waktu itu tetapi apabila Islam menjadi teguh, hanya bahasa Arab Quraysyi sahaja yang digunakan.
Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT kepada al-Rasul melalui perantaraan Jibril a.s. Beliau menerima cara bacaan yang betul daripada Jibril mengikut kehendak Allah SWT. Setelah itu Rasulullah SAW mengajarkan Al-Quran kepada para sahabat sebagaimana yang diajar oleh Jibril kepadanya. Malaikat Jibril sendiri mengajar Al-Quran kepada Rasulullah SAW dengan ‘Tujuh Huruf’. Berkaitan dengan itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
“Malaikat Jibril membacakan Al-Quran kepadaku dengan satu huruf, maka aku sentiasa mengulang-ulanginya. Aku juga sentiasa meminta kepada Jibril agar menambahkannya lagi, sehingga akhirnya ia menambahkannya sampai menjadi 7 huruf.” (Riwayat Syaikan).

2.3: Pengertian Tujuh Huruf Mengikut Pandangan ‘Ulama’

Sab’atu bererti tujuh dan Ahruf adalah jama’ daripada perkataan huruf yang ertinya beberapa huruf . Di samping itu harf bererti wajah dan lain-lain. Secara harfiah Sab’atu Ahruf bererti tujuh huruf atau tujuh wajah.
Para ulama berselisih pendapat mengenai makna tujuh huruf sehingga 40 pendapat. Pendapat ini boleh diambil iktibar dan pengajaran antaranya;
i. Cegah, suruh, halal, haram, peringatan, perbandingan dan hujah.
ii. Balasan baik dan buruk, halal, haram, peringatan, perbandingan dan hujah.
iii. 7 bahasa iaitu Quraisy, Yaman, Jarham, Hairizam, Qurdaah, Al-Tamim dan Ther.
iv. 7 Qiraat sahabat iaitu Abu Bakar, ‘Umar, ‘Uthman, ‘Ali, Ibn Mas’ud, Ibn ‘Abbas dan Ubay bin Ka’ab.
v. Zahir, batin, fardu, sunat, khusus, umum, pemisahan dan perbandingan.
vi. Depan, akhir, faraid, hudud, peringatan, mutasyabihah dan perbandingan.
vii. Suruhan, larangan, akad (jual beli), ilmu, rahsia, zahir dan batin.
viii. Hamzah, imalah, baris atas, baris bawah, tebal, panjang dan pendek.
ix. Suruhan, larangan, berita gembira, peringatan, perkhabaran, perbandingan.
Manakala mengikut Ibnu Hayyan, beliau mengatakan Ahli ilmuwan berbeza pendapat tentang makna tujuh huruf menjadi 35 pendapat . Di antara pendapat yang paling mendekati kebenaran ialah;
i. Tujuh macam bahasa daripada bahasa-bahasa Arab yang mempunyai satu erti atau makna bagi bahasa Quraisyi, Huzail, Saqif, Hawazin, Kinanah,Tamim dan Yaman;
ii. Tujuh macam bahasa daripada bahasa-bahasa Arab dengan mana Al-Quran diturunkan.
iii. Tujuh wajah amr(perintah), nahyu (larangan), wa’d (janji) ‘ wa’id (ancaman), ‘jadal (perdebatan); atau Qasas (cerita) dan masal (perumpamaan) atau amr, nahyu, halal, haram, muhkam, mutashabih, dan amsal;
iv. Tujuh huruf adalah tujuh macam hal yang di dalamnya terjadi ikhtilaf(perbezaan) iaitu Ikhtilaf al-asma’ (perbezaan Kata benda) dalam bentuk mufrad, muzakkar dan cabang-cabangnya seperti tasniyah jamak dan ta’nis; Perbezaan dalam segi I’rabb (harakat akhir kata); Perbezaan dalam tasrif; Perbezaan dalam takdim (mendahulukan) dan ta’khir (mengakhirkan); Perbezaan dalam segi ibdal (penggantian) baik pengertian huruf dengan huruf; Perbezaan kerana ada penambahan dan pengurangan ikhtilaf (ziadah); dan Perbezaan lahjah seperti bacaan tafkim (menebalkan) dan tarqiq (menipiskan) fathah dan imalah, izhar dan idgham, hamzah dan tashil, isymam dan sebagainya;
v. Bukan pengertian harfiah tetapi lebih kepada isyarat lambing kesempurnaan bahasa Arab, kerana lafaz ‘Sab’ah’ digunakan untuk jumlah yang banyak bilangan satuan seperti ‘70’ dalam bilangan puluhan, ‘700’ dalam bilangan ratusan dan bukannya bilangan 1 hingga 10. Kata ‘Sab’ah’ bukan ditujukan pada bilangan tertentu.
vi. Tujuh huruf bermakna Qiraat Tujuh.
Imam Sayuti mengatakan Ibnu Jazari mengemukakan pendapat tentang Sab’atu Ahruf ialah Quran diturunkan dengan tujuh macam bahasa dan tujuh ajaran, tetapi pendapat tersebut tidak sahih .
Pendapat yang paling masyhur mengenai pentafsiran Sab’atu Ahruf adalah pendapat Ar- Razi dikuatkan oleh Az-Zarkani dan didukung oleh jumhur ulama. Perbezaan yang berkisar pada tujuh wajah;
i. Perbezaan pada bentuk isim , antara mufrad, tasniah, jamak muzakkar atau mu’annath. Contohnya,
وَالَّذِينَ هُمْ لأمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ (Al-Mukminun: 8)
Lafaz bergaris dibaca secara jamak لأمَانَاتِهِمْ dan mufrad لأمَانتِهِمْ.
ii) Perbezaan bentuk fi’il madhi , mudhari’ atau amar. Contohnya,
فَقَالُوا رَبَّنَا بَاعِدْ بَيْنَ (Saba’ : 19)
Sebahagian qiraat membaca lafaz ‘rabbana’ dengan rabbuna, dan dalam kedudukan yang lain lafaz ‘ba’idu’ dengan ‘ba’ada’.
iii) Perbezaan dalam bentuk ‘irab. Contoh, lafaz إِذَا تَبَايَعْتُمْ وَلا يُضَارَّ كَاتِبٌ dibaca dengan disukunkan huruf ‘ra’ sedangkan yang lain membaca dengan fathah. (Al-Baqarah: 282)
iv) Mendahulukan (taqdim) dan mengakhirkan (ta’khir). Contoh,
وَجَاءَتْ سَكْرَةُ الْمَوْتِ بِالْحَق dibaca dengan didahulukan ‘al-haq’ dan diakhirkan ‘al-maut’, وَجَاءَتْ سَكْرَةُالْحَق بِالْمَوْتِ . Qiraat ini dianggap lemah. (Surah Qaf: 19)
v) Perbezaan dalam menambah dan mengurangi. Contoh ayat 3, Surah al-Lail,
وَمَا خَلَقَ الذَّكَرَ وَالأنْثَى . Ada qiraat yang membuang lafaz ‘ma kholaqo’(bergaris).
vi) Perbezaan ibdal (ganti huruf). Contoh, kalimah ‘nunsyizuha’ dalam ayat 259 Surah al-Baqarah dibaca dengan ‘nunsyiruha’ (‘zai’ diibdalkan dengan huruf ‘ra’).
vii) Perbezaan lahjah seperti dalam masalah imalah, tarqiq, tafkhim, izhar, idgham dan sebagainya. Perkataan ‘wadduha’ dibaca dengan fathah dan ada yang membaca dengan imalah (teleng) dengan bunyi ‘wadduhe’ (sebutan antara fathah dan kasrah).
Pendapat yang paling rajih dari semua pendapat di atas adalah yang mengatakan tujuh huruf sebagai tujuh macam bahasa daripada bahasa-bahasa Arab yang mempunyai satu erti atau makna. Pendapat ini dipegang oleh Sufyan bin ‘Uyainah, Ibnu Jarir, Ibnu wahb dan lain-lain.
Ibn Abdil Barr menisbahkan pendapat ini kepada sebahagian besar ulama dan dalilnya terdapat dalam hadis Abu Bakrah; “Jibril mengatakan: “Wahai Muhammad , bacalah Quran dengan satu huruf.” Lalu Mikail mengatakan: ‘Tambahkan’ “Jibril berkata lagi .” Dengan dua huruf!” Jibril terus menambahnya hingga sampai enam atau tujuh huruf. Lalu ia berkata : “ semua itu ubat penawar yang memadai, selama ayat azab tidak ditutup dengan ayat rahmat , dan ayat rahmat tidak ditutup dengan ayat azab . Seperti kata-kata :halumma, ta’ala, izhab, aqbil, asra’ dan ‘ajal.’“ Ibn ‘Abdil Barri menyebut: “ Maksud hadis ini hanyalah sebagai contoh bagi huruf-huruf yang dengannya Al-Quran diturunkan .Ketujuh huruf itu mempunyai makna yang sama pengertiannya, tetapi berbeza di segi bunyi ucapannya. Tidak satu pun di antaranya yang mempunyai makna yang saling berlawanan atau satu sudut yang berbeza makna dari sudut lain secara berlawanan .Misal rahmat lawan dari azab . Pendapat pertama ini disokong oleh banyak hadis lain.


2.4: Hikmah Diturunkan dengan Tujuh Huruf

Hikmah di sebalik Allah menurunkan Al-Quran dengan tujuh huruf ialah untuk memudahkan umat Islam membacanya , sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan dengan tujuh huruf, maka bacalah ia dengan bacaan yang mudah daripadanya.”
Dalam hadis riwayat Muslim juga diterima menerusi Ubay, beliau bersabda yang bermaksud, “Wahai Ubai! Aku diperintahkan agar membacakan Al-Quran dengan satu huruf, maka aku memohon kepada malaikat Jibril agar diberi kemudahan bagi umatku dan dia menjawab agar aku membacanya dengan dua huruf . Aku masih mengulangi lagi permintaan agar diberi lagi keringanan untuk umatku . Maka dia menjawab untuk yang ketiga kalinya . “ Bacalah Al-Quran itu dengan tujuh huruf.”
Oleh itu bacaan Al-Quran tujuh huruf itu bukanlah rekaan atau ciptaan Nabi Muhammad SAW, tetapi malaikat Jibril yang mengajarnya mengikut kesesuaian perintah Allah, Rasulullah SAW diperintahkan supaya tidak tergesa-gesa bila membaca Al-Qurantetapi dikehendaki setelah sempurna diwahyukan dan ikut cara Jibril membacanya.Rasulullah SAW juga dilarang oleh Allah meniru Jibril membaca ayat dari ayat sebelum Jibril a.s selesai membacakannya agar baginda dapat menghafal dan memahaminya dengan betul setiap ayat yang diturunkan.
Allah SWT berfirman :
وَلا تَعْجَلْ بِالْقُرْآنِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يُقْضَى إِلَيْكَ وَحْيُهُ
Ertinya : “ Dan jangan lah kamu tergesa gesa dalam membaca Al-Quran sebelum disempurnakan mewahyukannya .” (Taha: 114)


FirmanNya lagi:
فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ
Ertinya “ Apabila Kami telah selesai membacakannya, maka ikutilah bacaannya.
(Al-Qiamah: 18).

2.5: Tujuh Huruf dan Kaitannya dengan Mashaf ‘Uthmani
Mashaf ‘Uthmani adalah mashaf yang dicatat dan disempurnakan pada zaman Khalifah ‘Uthman ibn ‘Affan yang digunakan pada hari ini. Menurut jumhur ulama, mashaf ini berjumlah 6 buah yang mencakupi ‘Tujuh Huruf’. Sebagai contoh, (bahasa Yaman),(bahasa Yaman), (bahasa Hawazin), (bahasa Abbas) dan lain-lain yang terdapat dalam al-Quran resam ‘Uthmani.

BAB 3: QIRAAT DAN PERBAHASAN MENGENAINYA

3.1: Pengertian

Qiraat adalah bentuk masdar daripada qara’a atau jamak daripada qiraah yang ertinya bacaan. Menurut istilah ilmiah, qiraat adalah satu mazhab(aliran) pengucapan Al-Quran yang dipilih oleh salah seorang Imam qurra’ sebagai suatu mazhab yang berbeza dengan mazhab lainnya. Dengan kata yang lain ia membawa maksud perbezaan-perbezaan dalam membaca Al-Quran, iaitu perbezaan lafaz-lafaz Al-Quran mengenai huruf-huruf dan cara mengucapkannya di segi tebal atau nipis, panjang pendeknya dan sebagainya.
Muhammad Abdul Azim Az-Zarqani mengatakan: "Qiraat ialah suatu mazhab yang dipilih oleh imam qiraat yang mana antara satu dengan lainnya tidak sama dalam menuturkan Al-Quran."
Muhammad Salam Muhsin mengatakan: “Qiraat adalah satu ilmu yang membahaskan tentang cara pertuturan kalimat-kalimat Al-Quran serta cara pelaksanaannya dengan menisbahkan setiap wajahnya kepada seorang Imam pakar qiraat.”
Muhammad ‘Ali Shabuni mengatakan: "Qiraat ialah suatu cara daripada beberapa cara mengucapkan Al-Quran yang masing -masing imam itu memilih satu cara yang berbeza dengan yang lainnya dalam mengucapkan Al-Quran.”
Definisi tersebut di atas, dapatlah kita simpulkan qiraat adalah suatu ilmu pengetahuan mengenai cara melafazkan Al-Quran secara praktikal dengan pengucapannya yang baik, sama ada disepakati atau diperselisihkan kesahihannya dengan berpandukan pada mazhab-mazhab yang diakui sanadnya hingga sampai kepada Rasulullah SAW. Qiraat yang dianggap mutawatir dalam pembacaan Al-Quran adalah Qiraat Sab'ah atau Qiraat Tujuh. Sebahagian orang menyangka bahawa qiraat atau macam-macam bacaan Al-Quran tersebut direka oleh Rasulullah SAW atau oleh para sahabat dan para tabiin. Tidak kurang juga yang membuat andaian ianya dibuat oleh pakar Al-Quran yang dipengaruhi oleh kabilah-kabilah Arab atau bangsa ‘Ajam (bukan Arab) yang Islam. Anggapan tersebut adalah tidak benar berdasarkan riwayat puluhan hadis sahih menerangkan pelbagai bacaan semenjak Al-Quran diturunkan. Kesemua bacaan yang diriwayatkan oleh ketujuh-tujuh imam itu telah diakui dan disepakati oleh para ulama sebagai sahih dari Rasulullah SAW yang dikenali dengan Qiraat Sab'ah atau Qiraat Tujuh. Beberapa kitab ulum Al-Quran menyebut tentang qiraat tujuh yang dianggap mutawatir oleh jumhur ulama.
Ibnu Subki mengatakan pula: "Qiraat tujuh dipandang mutawatir dengan sebenar-benarnya, yakni yang dinukilkan daripada Rasulullah SAW oleh suatu jemaah yang diyakini mereka tidak mungkin berdusta."
Para ulama bersepakat tentang kemutawatiran qiraat tujuh ini. Oleh kerana itu umat Islam wajib mempercayai dan tidak boleh menolak kebenaran qiraat tujuh ini, yang telah dibawa oleh orang-orang kepercayaan dengan sanad yang bersambung terus kepada Rasulullah SAW. Al-Qadhi Jalaluddin Al- Balqini yang menyifatkan qiraat tujuh sebagai mutawatir lagi masyhur, katanya: "Qiraat itu terbahagi menjadi qiraat mutawatir, ahad dan syaz. Adapun qiraat yang mutawatir adalah qiraat tujuh."

3.2: Perkembangan Ilmu Qiraat

Di peringkat awal Al-Quran hanya diturunkan dalam satu huruf sahaja, akan tetapi Rasulullah SAW mendesak malaikat Jibril agar ditambah lagi, supaya umatnya tidak menghadapi masalah dan kesusahan dalam membaca Al-Quran dan memilih mana-mana bacaan yang mudah. Lalu Jibril pun menambahnya sehingga tujuh huruf.
Ilmu qiraat adalah sebahagian daripada ulum Quran atau ilmu-ilmu tentang Al-Quran yang membicarakan kaedah membaca Al-Quran. Ilmu disandarkan kepada Imam periwayat dan pengembangnya yang sanadnya bersambung sampai kepada Rasulullah SAW. Cara pengambilan ilmu ini adalah secara ‘talaqi’ iaitu berdepan dengan guru dengan memperhatikan bentuk mulut, lidah dan bibir guru ketika melafazkan ayat-ayat Al-Quran. Manakala mashaf resam ‘Uthmani hanyalah sebagai rujukan semata.
Oleh sebab itulah Khalifah 'Uthman sewaktu mengirimkan Mashaf ke wilayah, menghantar pula seorang qari yang qiraatnya bersesuaian dengan mashaf yang dikirimkannya. Mereka yang dihantar terdiri daripada sahabat -sahabat yang arif tentang bacaan Al-Quran oleh Rasulullah SAW. Di antara para sahabat tersebut ada yang menerima terus daripada Nabi hanya satu bacaan sahaja, ada pula yang menerima dua bacaan, tiga bacaan dan bahkan ada yang menerima lebih daripada itu dan kemudian mereka mengajarkan bacaan yang diterimanya tadi kepada orang yang belajar. Oleh kerana itu,wajarlah kalau timbul perbezaan qiraat pada generasi tabiin dan generasi penerusnya dan apabila sampai kepada imam-imam qiraat yang tujuh itu, orang mulai membatasi qiraat.
Di zaman sahabat, para qari dan huffaz yang terkenal adalah ‘Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Ubay bin Ka'ab, Zaid bin Thabit, Ibnu Mas'ud, Abu Darda' dan Abu Musa Al-Asy'ari. Merekalah yang dihantar oleh Khalifah ‘Uthman ke wilayah Islam bersama mashaf ‘Uthmani yang telah disediakan. Hasil didikan para qari zaman sahabat, muncullah pakar-pakar qiraat generasi tabiin, di serata wilayah Islam di antaranya:
Di Mekah - Qari-Qari' yang tinggal di Mekah antaranya ialah Ubaid bin Umair, Atak Tawus, Mujahid, Ikrimah dan Ibnu Malikah
Di Madinah - Qari-Qari yang tinggal di Madinah antaranya ialah Ibnu Musayyab, Urwah, Salim, Umar bin Abdul Aziz, Sulaiman, Ibnu Yasar, Mu'ad bin Haris (Mu'ad AI-Qari'), Abdurrahman bin Hurmuz, Ibnu AI-A'raj, Muslim bin Jundub dan Sa'id bin Aslam.
Di Basrah terdapat para qari masyhur antaranya Amir bin Abdul Qais, Abu 'Aliyah, Abu Raja’, Nasr bin Ashim, Yahya bin Ya'mar, Mu'adz, Jabir bin Zaid, Al-Hasan Ibnu Sirin dan Qatadah.
Di Kufah - Di kota Kufah pula terdapatqari-'qari' antaranya Al-Qamah, AI-Aswad, Masruq, Ubaid, Amr bin Syarkhabil, Al-Haris bin Qais, Rabi' bin Khatim, ‘Amru b. Maimun, Abdurrahman Assulami, Zar bin Khubais, Ubaid bin Mudhailah, Abu Zar'ah dan Ibnu Asy-Sya'bi.
Di Syam - terdapat juga ramai qari yang mahir antaranya AI-Mughirah bin Abi Syaibah Almakhzumi. Beliau termasuk salah seorang murid ‘Uthman bin Affan. Khalid bin Sa'id, salah seorang murid Abu Darda'.
Hasil didikan daripada generasi tabiin, maka ramailah orang yang cenderung dan berminat serta prihatin tentang qiraat. Mereka menumpukan perhatian terhadap ilmu qiraat, sehingga di beberapa kota besar terdapat pula pakar-pakar qiraat dari generasi ini.Umpamanya di Mekah terdapat Imam Ibnu Kathir, yang menjadi salah seorang imam qiraat. Hamid bin Qais Al-A'raj dan Muhammad bin Muhaisin. Di Madinah pula terdapat nama-nama seperti Abu Jaafar Yazid bin Yakkub, Syaibah bin An-Nasah dan Nafi' bin Nu'im (salah seorang imam qiraat). Di Kufah nama-nama yang termasyhur adalah Yahya bin Wathab, ‘Asim bin Abi Nujdud, Hamzah dan Kisa'i. Tiga nama yang terakhir itu termasuk imam Qiraat yang tujuh. Manakala para qari yang tinggal di Basrah ialah Abdullah bin Abu Ishak, Isa bin Umar, Abu Amir bin Al-A'la (salah seorang imam qiraat), Asim bin Jahdari dan Yakkub bin Al-Hadrami. Di Syam pula tercatat nama-nama yang masyhur antaranya Abdullah bin Amir (salah seorang imam qiraat), Atiyah bin Qais Al-Kilabi, Ismail bin Abdullah bin Muhajir, Yahya bin Haris dan Syuraikh bin Yazid Al-Hadrami.
Melalui perkembangan ilmu qiraat yang pesat, lahirlah pelbagai bentuk bacaan yang semuanya bersumber daripada Rasulullah SAW. Hal ini boleh jadi disebabkan pendapat mereka dalam memahami maksud sabda Rasulullah SAW yang mengatakan Al-Quran itu diturunkan dalam tujuh huruf. Jadi masing-masing pembawa qiraat mendakwa qiraatnya berasal dari Rasulullah SAW, kerana ketika itu belum dirumuskan dan belum dipastikan bacaan mana yang betul-betul daripada Rasulullah SAW.Sehubungan dengan itu para ulama segera mengadakan kajian dan penelitian terhadap setiap bentuk qiraat kemudian membandingkannya bacaan mana yang dianggap betul.Lalu mereka merumuskan tiga syarat bagi setiap qiraat yang dianggap betul daripada Rasulullah SAW:-.
Sanadnya Yang Sahih - suatu bacaan dianggap sahih sanadnya apabila ia diterima daripada salah seorang imam atau guru yang jelas, tertib, tidak ada cacat dan sanadnya bersambung hingga kepada Rasulullah SAW.
Sesuai Dengan Resam ‘Uthmani - suatu qiraat dianggap sahih apabila sesuai dengan salah satu Mashaf ‘Uthmani yang dikirimkan ke wilayah Islam kerana ia mencakupi sab'atu ahruf.
Sesuai dengan tata bahasa Arab - syarat terakhir ini tidak berlaku sepenuhnya, sebab ada sebahagian bacaan yang tidak sesuai dengan tata bahasa Arab, namun kerana sanadnya sahih dan mutawatir maka qiraatnya dianggap sahih.

3.3: Pembukuan Ilmu Qiraat

Ilmu qiraat semakin maju sejajar dengan ilmu-ilmu yang lain disebabkan perkembangan dunia umumnya dan dunia Islam khususnya semakin maju. Ilmu-ilmu yang dulunya diwarisi secara mulut ke mulut mulai dibukukan untuk menjadi tatapan generasi mendatang termasuklah ilmu qiraat mulai ditulis dan dibukukan. Sejarah mencatatkan Abu Ubaid Al-Qasim bin Salam, Abu Khatim As-Sajistani, Abu Jaafar At-Tabari dan Ismail Al-Qadhi adalah antara para ulama qiraat yang mula-mula merintis pembukuan ilmu Qiraat Al-Quran. Melalui pembukuan tersebut, para ilmuwan terkemudian dapat membuat kajian dan kemudiannya mereka telah mengemaskinikan pembukuan ilmu qiraat untuk lebih diminati ramai. Di antara mereka ada yang menyusunnya dalam bentuk prosa dan ada pula yang berbentuk syair agar mudah dihafal. Orang yang terbabit dengan usaha tersebut antaranya ialah Imam Ad-Dani dan Al-Syatibi.
Pada peringkat awal pembukuan ilmu qiraat yang dirintis oleh Ibnu Ubaid Al-Qasim, Abu Khatim As-Sajistani, Abu Ja’afar dan para imam tersebut di atas, istilah qiraat tujuh belum timbul. Pada peringkat ini, mereka hanya mengangkat sejumlah qiraat yang banyak ke dalam karangan mereka. Hanya pada abad kedua Hijrah orang mulai tertarik kepada qiraat atau bacaan beberapa imam yang mereka kenali. Umpamanya di Basrah orang tertarik terhadap qiraat Imam ‘Amr bin Yakkub. Sementara di Kufah, orang ramai tertarik pada bacaan Hamzah dan ‘Asim. Di Syam orang tertarik pada qiraat Ibnu ‘Amir. Di Mekah pula ramai orang tertarik pada qiraat Ibnu Kathir manakala di Madinah orang tertarik pada qiraat Imam Nafi'. Di penghujung abad ketiga Hijrah, Ibnu Mujahid mencetuskan istilah Qiraah Sab'ah atau Qiraat Tujuh, dimaksudkan kepada tujuh macam qiraat yang dipopularkan oleh tujuh imam qiraat tersebut. Namun Ibnu Mujahid tidak memasukkan Imam Yakkub ke dalam senarai para Imam yang tujuh. Sebagai pelengkapnya, beliau memasukkan ‘Ali Kisa'i salah seorang pakar qiraat dari Kufah untuk menggantikan nama Yakkub. Maka daripada situlah bermulanya muncul sebutan Qiraat Sab'ah.
Persoalan timbul mengapakah diadakan pembatasan hanya tujuh orang imam qiraat sahaja? Padahal selain mereka itu masih ramai lagi imam qiraat yang setaraf dengan mereka. Menurut Al-Makki, kerana perawi daripada Imam-imam tersebut terlalu ramai dan minat orang mulai berkurangan, mereka (para perawi) mulai membatasi diri hanya pada qiraat yang sesuai dengan mashaf yang mudah dihafal dan mudah menurut bacaan Al-Quran. Di samping itu mereka adalah terdiri daripada orang-orang yang dikenali boleh dipercayai, jujur, lama dalam menekuni qiraat dan qiraatnya pun disepakati untuk dijadikan rujukan. Setelah itu, para perawi tersebut memilih satu imam qiraat dari setiap daerah. Walau demikian, mereka tidak meninggalkan periwayat selain tujuh imam qiraat tersebut, seperti qiraat Yakkub, qiraat Abu Ja’afar, qiraat Syaibah dan lain-lain.Periwayat-periwayat imam tujuh yang masyhur ialah:
• Qalun dan Warsy, meriwayatkan daripada Imam Nafi.'
• Qambul dan Al-Bazzi, meriwayatkan qiraat daripada Ibnu Kathir.
• Ad-Duri dan Susi, meriwayatkan qiraat dari Imam Abu Amr.
• Syukbah dan Hafas, meriwayatkan qiraat dari Imam Asim.
• Kholafi dan Khollad, meriwayatkan qiraat dari Imam Hamzah.
• Hisyam dan Dzakwan, meriwayatkan qiraat dari Imam Ibnu Amir.
• Abdul Haris dan Duri meriwayatkan qiraat dari Imam Ali Kisa'i.
Bacaan imam tujuh dipopularkan oleh para perawi yang tertarik terhadap bacaan masing -masing. Jumlah para perawi bagi setiap imam adalah banyak, tetapi dalam pembukuan ilmu Qiraat hanya dua orang perawi terkenal sahaja yang digandingkan dengan setiap imam. Dengan demikian masing -masing imam qiraat itu ada dua orang perawi di belakangnya yang menyebar luaskan qiraatnya.

3.4: Peringkat Qiraat Al-Quran

Para ulama pakar qiraat telah berusaha sedaya upaya menyelamatkan ilmu qiraat Al-Quran daripada hilang atau dipalsukan. Mereka benar-benar meneliti kesahihan sanad qiraat tersebut daripada hal-hal yang lain untuk menerima suatu bacaan. Kalau diketahui sanadnya betul-betul bersambung kepada Nabi, tidak meragukan dan dibawa oleh orang yang dipercayai pula mereka terima qiraat tersebut sebagai qiraat yang sahih sekalipun tidak berapa sesuai dengan tata bahasa Arab atau Nahu. Apabila terjadi percanggahan antara qiraat yang sahih dengan kaedah ilmu Nahu, maka ilmu Nahu yang mesti disesuaikan dengan Al-Quran bukan sebaliknya. Sekiranya seorang periwayat qiraat telah menerima riwayatnya dengan jelas dan tanpa cacat, maka qiyas bahasa Arab mahupun kemasyhuran Nahu suatu bahasa tidak boleh menolak atau mengingkari, sebab qiraat Al-Quran sunnah yang mesti diikuti dan wajib di terima.
Berkaitan dengan peringkat qiraat, para ulama telah membahagikan pada enam tingkatan iaitu Qiraat Mutawatir, Qiraat Masyhur, Qiraat Ahad, Qiraat Syaz, Qiraat Maudhu’ dan Qiraat Mudraj.

i) Qiraat Mutawatir
Qiraat Mutawatir adalah qiraat yang diriwayatkan oleh orang ramai yang tidak mungkin mereka berdusta. Para ulama mahupun para ahli hukum Islam telah sepakat bahawa qiraat yang berkedudukan Mutawatir adalah qiraat yang sah dan rasmi sebagai qiraat Al-Quran. Ia sah dibaca di luar dan di waktu solat dan qiraat ini juga yang dijadikan pedoman bagi sumber penetapan hukum.
ii) Qiraat Masyhur
Qiraat masyhur adalah qiraat yang sah sanadnya tetapi tidak sampai pada peringkat Mutawatir, dan sesuai dengan kaedah bahasa Arab serta sesuai pula dengan resam ‘Uthmani. Juga masyhur di kalangan para qurra' dan tidak terdapat cacat.
Daripada definisi di atas dapat difahami bahawa qiraat yang dianggap masyhur adalah qiraat yang sanadnya sahih tetapi bilangan perawinya tidak sebanyak qiraat Mutawatir. Perawinya memenuhi syarat jujur, adil dan kuat hafalannya. Selain itu juga mesti sesuai dengan kaedah bahasa Arab dan sesuai pula dengan mashaf yang dikumpulkan Khalifah ‘Uthman bin Affan.Namun dalam hal ini ia tidak sampai pada tahap Mutawatir. Qiraat Masyhur ini tidak terdapat cacat sedikit pun dan wajib diakui sebagai Al-Quran dan tidak boleh dimungkiri. Contoh qiraat Masyhur ini adalah qiraat yang dipopularkan oleh Abu Ja’afar bin Qakqak dan Yakkub Al-Hdharami.
iii) Qiraat Ahad
Qiraat Ahad ialah qiraat yang sah sanadnya, tetapi menyalahi atau tidak sesuai dengan resam ‘Uthmani dan kaedah bahasa Arab atau tidak masyhur sebagaimana dua qiraat yang tersebut di atas. Qiraat Ahad ini pada dasarnya sanadnya benar tetapi tidak sesuai dengan tulisan yang dibacanya, tidak sesuai dengan kaedah bahasa ‘Arab, dan tidak meluas seperti qiraat pertama dan kedua. Qiraat ini tidak digunakan untuk membaca Al-Quran dan tidak boleh diyakini kebenarannya. Contohnya ayat 26 surah al-Rahman, perkataan ‘rafrafin’ dibaca ‘rafarifa’ dan ‘wa’abqoriyyin’ dibaca dengan ‘wa’abaqiriyya’.
iv) Qiraat Syaz
Qiraat syaz ialah bacaan yang sanadnya tidak sah. Contoh qiraat syaz ini adalah bacaan Ibnu Syumaifa' dalam membaca firman Allah surah Yunus, ayat 26 apabila kalimah-kalimah ‘nunajjika’ dibaca sebagai ‘nunahhika’ (huruf jim dibaca ha) dan ‘kholfaka’ dibaca sebagai ‘kholafaka’(huruf lam difathahkan).
Bacaan tersebut diriwayatkan oleh Hakim daripada ‘Asim bin Al-Jahdari daripada Al-Barkah, katanya dia mendengar Rasulullah membaca sedemikian.
v) Qiraat Maudhu’ (palsu)
Qiraat Maudhu’ adalah qiraat yang dibangsakan kepada yang mengatakannya tanpa diketahui asalnya. Jadi qiraat ini dibuat-buat dengan menyandarkan kepada seseorang tanpa diketahui dan tidak memiliki sanad ataupun rawi. Contohnya qiraat Imam Muhammad bin Ja’afar Al- Khuza'i (Abdul Fadhal Muhammad bin Ja’afar) dalam membaca firman Allah s. w. t. dalam surah Fatir, ayat 28 dengan membaris depan perkataan Allah daripada ‘Allaha’ kepada ‘Allahu’ dan memfathahkan perkataan ulama daripada ‘al-‘ulama-u’ menjadi ‘al-‘ulama-a’.
vi) Qiraat Mudraj
Qiraat Mudraj adalah bacaan yang ditokok tambah dengan kalimah-kalimah lain sebagai tafsiran. Dalam qiraat ini lafaz-lafaz atau ayat-ayat Al-Quran ditokok tambah dengan lafaz lain yang tujuannya untuk memperjelas maksud Al-Quran. Dengan demikian ayat-ayat yang dibaca bertambah daripada yang sebenarnya. Maka bagi orang awam sukarlah untuk membezakan yang mana ayat Al-Quran dan yang mana tokok tambahnya atau pentafsirannya. Contohnya seperti qiraat Sa’ad bin Abi Waqas dalam membaca firman Allah surah An-Nisa', ayat 12 iaitu dengan menambahkan lafaz ‘min ummin’ selepas kalimah ‘ukhtun’.
Demikianlah huraian ringkas tentang pelbagai qiraat, sehingga dengan demikian seorang ahli qiraat di samping hafal bermacam-macam qiraat, dituntut juga agar mampu membuktikan kebenaran qiraatnya.

3.5: Qiraat-Qiraat Lain

Selain qiraat yang tujuh di atas, muncul pula tiga qiraat yang lain dengan qari-qarinya iaitu Abu Muhammad Ya'qub bin Ishak Al-Hadhrami (perawinya yang masyhur ialah Ruwais Muhammad bin Mutawakkil dan Ra'uf bin Abdul Mukmin); Abu Muhammad bin Hisyam (perawinya yang masyhur ialah. Ishak Al-Warraq dan Idris Al-Madda); dan Abu Ja'far Yazid bin Al-Qa'qa' Al –Makhzumi (perawinya yang masyhur ialah Ibnu Wardan dan Ibnu Jammaz). Dengan munculnya tiga qiraat ini maka qiraat menjadi sepuluh yang dikenal dengan sebutan "Qiraat Asyrah" (qiraat sepuluh). Ketiga-tiga qiraat tersebut mempunyai qiraat AHAD ertinya qiraat yang sah sanadnya tetapi menyalahi resam ‘Uthmani dan kaedah bahasa ‘Arab. Selain qiraat yang sepuluh ini muncullah pula empat qiraat dengan qari-qarinya; Muhammad bin Mahaishiz Al-Makki, Al-A'masy Al-Kufi Hasan Al-Basri dan Yahya Al-Yazidi. Dengan munculnya empat qiraat ini, maka semuanya menjadi qiraat empat belas yang terkenal dengan sebutan "QlRAAT ARBA'A ASYAR" (Qiraat Empat Belas). Walau bagaimanapun qiraat empat yang terakhir ini adalah qiraat lemah (syaz) kerana tidak ada perawinya, di samping qiraat ini menambahkan kata-kata di dalam ayat sebagai pentafsiran.


3.6: Perbezaan Qiraat Sab‘ah dan Qiraat ‘Asyarah

1. Qiraat Sab‘ah mempunyai tujuh imam sahaja iaitu imam Nafi’, Ibnu Kathir, Abu ‘Amru, Ibnu ‘Amir, ‘Asim, Hamzah dan Kisaie manakala Qiraat ‘Asyarah adalah penambahan tiga lagi imam iaitu Abu Ja’far, Ya’kub dan Khalaf (‘Aashir).
2. Imam Khalaf merupakan rawi kepada Imam Hamzah di dalam Qiraat Sab‘ah manakala dalam Qiraat ‘Asyarah beliau merupakan Imam kepada orang rawi iaitu Ishaq dan Idris.

3.7: Penghubung (Wasilah) Para Perawi

Perlu juga diketahui sanad-sanad perawi qiraat ada yang melalui wasilah yakni orang yang menjadi penghubung/penyambung sanad antara perawi dengan imamnya, hanya mereka yang menjadi penghubung ini namanya tidak masyhur sebagai perawi qiraat. Ada perawi yang terus belajar dengan imamnya tanpa melalui perantaraan orang lain, biasanya mereka masih sempat atau pernah hidup sezaman dengan imamnya:-
•Kedua-dua perawi Imam Nafi', iaitu Qalun dan Warasy, mereka mendapat sanad qiraat dari Imamnya dengan bertalaqqi (musyafahah) terus.
•Perawi Imam Asim iaitu Syu’bah dan Hafsh.
•Perawi Imam Ali Kisa'i, iaitu Abdul Harith dan Duri Ali.
Sementara itu, perawi-perawi yang terdapat wasitah dengan imamnya ialah:-
•Kedua-dua perawi Ibnu Kathir, iaitu Bazzi dan Qanbul. Bazzi mendapat sanad qiraat dari Ibnu Kathir melalui wasitah dua orang iaitu Syibl dan Ikrimah, manakala Qanbul mendapat sanad melalui lima orang iaitu Ahmad Al-Qowas, Abi Al-Ajrit, Ismail, Syibl dan Ma'ruf.
•Dua perawi Imam Abu Amr, iaitu Duri dan Susi, masing-masing mendapat sanad daripada imamnya melalui seorang wasitah iaitu Yahya Al -Yazidi.
•Kedua-dua perawi Imam Ibnu Amir, iaitu Hisyam dan Ibnu Dzakwan. Hisyam mendapatkan sanad dari imamnya melalui dua orang wasitah iaitu 'Arok Al-Marwazi dan Yahya Adh-Dhamari. Sedangkan Ibnu Dzakwan mendapat sanad daripada imamnya melalui dua orang wasitah pula iaitu Ayyub At-Tamimi dan Yahya Adh-Dhamari.
•Kedua-dua perawi Imam Hamzah, iaitu Kholaf dan Khollad, masing-masing mendapat sanad bacaan Al-Quran daripada imamnya melalui seorang wasitah iaitu Salim.

3.8: Pengaruh Qiraat terhadap Istinbat Hukum

Menurut pengkajian, perbezaan bacaan Al-Quran ada kalanya membawa pengaruh kepada perbezaan pengertian saja, demikian menurut pendapat Ibnu Qutaibah.Selanjutnya Ibnu Qutaibah menjelaskan perbezaan bacaan yang menimbulkan adanya pengertian yang berlawanan tidak terdapat dalam Al-Quran, yang ada hanyalah perbezaan bacaan yang membawa pengaruh terhadap perbezaan pengertian yang masih dalam batas-batas kebenaran yang dibenarkan oleh syarak. Perbezaan bacaan yang membawa pengaruh kepada adanya perbezaan erti atau pemahaman yang masih pada batas-batas kebenaran adalah seperti perbezaan pada masalah-masalah Fiqhiah sebagai hasil ijtihadi daripada para mujtahid. Perbezaan qiraat berkenaan tidak menutup kemungkinan akan mempengaruhi erti dan pentafsiran terhadap Al-Quran.


PENUTUP

Penurunan Al-Quran dengan tujuh huruf dan pelbagai qiraat menunjukkan betapa terjaga dan terpelihara Kitab Allah daripada perubahan dan penyimpangan sedangkan bacaannya berbeza-beza. Di samping itu ia memudahkan umat Islam untuk membacanya. Ia juga menggambarkan kemukjizatan dan kepadatan Al-Quran kerana setiap qiraat menunjukkan sesuatu hukum syarak tanpa pengulangan lafaz dan juga merupakan penjelasan terhadap apa yang mungkin masih global dalam qiraat lain.

BIBLIOGRAFI


1. Abdul Ghani Azmi Hj Idris, Drs., Mengenal Al-Quran dan Asas-Asas Ulumul Quran, cet.1, 1999, Kuala Lumpur, Al-Hidayah Publishers.

2. Abdul Fatah El-Qadhi, Sejarah Al-Quran (Terjemahan Ismail Mohd Hassan), cet.1, 1999, Kuala Terengganu, Penerbitan Yayasan Islam Negeri Terengganu.

3. Manna’ Khalil al-Qattan, Studi Ilmu-Ilmu Quran (Terjemahan Drs. Mudzakir AS), cet.6, 2001, Jakarta, PT Pustaka Litera AntarNusa.

4. Al-Suyuti, Jalaluddin, Al-Itqan Fi Ulum Al-Quran , 1973, Beirut, Dar al-Fikr.

5. Al-Zarqani, Muhammad ‘Abdul Azim, Manahil al-Irfan Fi Ulum Al-Quran, t.t., t.p.

6. Al-Zarkashi, Badruddin, Al-Burhan Fi Ulum Al-Quran, Vol.1,1984, Beirut, Dar al-Fikr.

7. Ahmad Von Denffer, Ulum Quran: an introduction to the sciences of the Quran, 2003, London, Islamic Foundation (UK).

8. ‘Imaduddin Abi al-Fida’ Ismail bin Kathir (Ibn Kathir), Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, Jld.3, 1981, Beirut, Dar Al-Quran al-Karim.

9. Andas ‘Abdul Malik, Dr., Ilmu Qiraat Al-Quran:Pelajaran Qiraah Sab’ah, 1985, Kuala Lumpur, Penerbit Pustaka Antara.

10. Muhammad Ali al-Shabuni, Safwah al-Tafasir, Jld. 3, 1981, Beirut, Dar Al-Quran al-Karim.

11. Ismail Masyhuri al-Hafidh, Ilmu Qiraatul Quran, t.t., Kuala Lumpur, Syarikat Nurulhas.

12. Mohd Rahim Jusoh, Ustaz, Pengenalan Ilmu Qiraat, cet.2, 2001, Selangor, Mahsuri Timur Sdn. Bhd.